Tuesday, July 31, 2012

PUASA TAPI TAK SOLAT



Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).




Hukum Meninggalkan Solat[1]

Para ulama’ bersepakat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan mengingkari kewajipannya, dia telah murtad dan kafir. Akan tetapi mereka berselisih pendapat sama ada orang yang meninggalkan solat kerana malas telah terkeluar daripada Islam atau masih Islam. Akan tetapi para ulama’ tetap bersepakat meninggalkan solat adalah dosa yang besar.
Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata bahawa tiada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam terhadap yang meninggalkan kerana mengingkari kewajipannya. Akan tetapi apabilka meninggalkan solat kerana malas, dan masih meyakini solat lima waktu wajib, maka di dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat.[2]

Terdapat tiga pendapat ulama ke atas orang yang meninggalkan solat kerana malas.[3]

Pendapat pertama:
 Orang yang meninggalkan solat wajib dibunuh kerana telah murtad. Ini merupakan pendapat Imam Ahmad, Sa’id bin Jubair, ‘Amir asy-Sya’bi, Ibrahim an-Nakhai, Abu ‘Amr, al-Auzai’e, Ayyub al-Sakhtiyani, Abdullah Ibn al-Mubarak, Ishak bin Rahawiah, Abdul Malik Bin Habib (ulama’ mazhab Malik), sebahagian pendapat ulama’ mazhab Syafie. Di kalangan sahabat pula pendapat ini dipegang oleh Umar al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Abdurrahman Bin Auf dan lain-lain.

Pendapat kedua
 : Orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman had, akan tetapi tidak dihukum sebagai kafir. Ini merupakan pendapat Imam Malik, Imam asy-Syafie, dan salah satu pendapat Imam Ahmad.

Pendapat ketiga
: Orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasiq (pelaku dosa besar) dan dia wajib dipenjara sehingga dia mahu menunaikan solat. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi.

Dalil-dalil Al-Quran tentang orang yang meninggalkan solat

1) Allah Ta’ala berfirman:
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا
Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mensia-siakan solat dan mengiut hawa nafsu. Mereka akan menemui al-ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Maryam : 59-60)
Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di neraka Jahanam yang makanannya sangat menjijikkan dan tempatnya sangat dalam. [4]

Di dalam ayat ini, Allah menjadikan tempat ini –iaitu sungai di Jahannam- sebagai tempat bagi orang yang meninggalkan solat dan mengikut hawa nafsu. Seandainya orang yang meninggalkan solat adalah orang yang hanya melakukan maksiat biasa, tentu dia akan berada di neraka paling atas, sebagaimana tempat orang muslim yang berdosa. Tempat ini (ghoyya) merupakan bahagian neraka yang paling bawah. Ia bukanlah tempat orang mukmin, sebaliknya tempat bagi orang kafir.

2) Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ
Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka) adalah saudara-saudaramu seagama.” (At Taubah: 11). Di dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengaitkan persaudaraan Islam dengan mengerjakan solat. Ini bermaksud jika solat tidak dikerjakan, bukanlah saudara seiman. Ia menunjukkan orang yang meninggalkan solat bukanlah mukmin kerana orang mukmin itu bersaudara sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” (Al Hujurat : 10)

Dalil Tentang Orang Yang Meninggalkan Solat Di Dalam Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam

1) Daripada Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.”[5]

2) Daripada Tsauban radiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
بَيْنَ العَبْدِ وَبَيْنَ الكُفْرِ وَالإِيْمَانِ الصَّلَاةُ فَإِذَا تَرَكَهَا فَقَدْ أَشْرَكَ

“Pemisah di antara seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia telah syirik.”.[6]

3) Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal , Nabi sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ
Kepala segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat.”.[7]
Di dalam hadis ini, dikatakan bahawa solat adalah tiang yang menegakkan Islam. Jadi jika roboh tiang tersebut, maka robohlah Islam.
Para Sahabat Berijma’ (Bersepakat), Meninggalkan Solat adalah Kafir

Umar radiallahu ‘anhu menyatakan:

لاَ إِسْلاَمَ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

”Tidak ada Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”

Daripada jalan yang lain, beliau berkata:

ولاَحَظَّ فِي الاِسْلاَمِ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”[8]

Ketika Umar menyebutkan perkataan di atas,beliau sedang menghadapi sakaratul maut, tiada seorang sahabat pun yang mengingkarinya. Oleh kerana itu, hukum bahawa meninggalkan solat adalah kafir termasuk ijma’ (kesepakatan) sahabat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab As-Solah.
Kebanyakan sahabat Nabi menganggap bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah kafir sebagaimana dikatakan oleh seorang tabi’in, Abdullah bin Syaqiq. Beliau menyatakan:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ
Dahulu para sahabat Muhammad sollallahu ‘alaihi wassalam tidak pernah melihat suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat.”[9]
Al-Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, ”Tidakkah seseorang itu malu dengan mengingkari pendapat bahawa orang yang meninggalkan solat adalah kafir, padahal hal ini telah disaksikan oleh Al Kitab (Al Qur’an), As Sunnah dan kesepakatan sahabat. Wallahul Muwaffiq (Hanya Allah-lah yang dapat memberi taufik).”[10]




PERINGATAN
Bukanlah tujuan tulisan ini untuk menghukum orang lain kafir, atau puasa orang lain tidak sah. Sebaliknya ia satu muhasabah kepada diri kita. Ulama hanya khilaf kafir atau tidak, tetapi mereka tidak khilaf ia satu dosa yang SANGAT besar.
Ambillah pengajaran daripada artikel ini untuk kebaikan kita semua.


1 comment:

Anonymous said...

bagus la brader razi entry ko ni...teruskan..from encik joe