Friday, August 10, 2012

JUMAAT "SAIYIDUL AYYAM" PENGHULU SEGALA HARI

Perkara Sunat Yang Dilakukan Pada Hari Jumaat

Assalamualaikum dan Salam Jumaat ... Sempena Saiyidul Ayyam atau Penghulu Segala Hari ... Aku nak berkongsi sedikit tentang " Perkara Sunat Yang Dilakukan Pada Hari Jumaat " ... Sekadar untuk menyampaikan dan mengingatkan untuk semua dan juga diri sendiri ...

  1. Mandi sunat Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan cantik serta bau-bauan.

  2. Sunat memakai pakaian yang berwarna putih.

  3. Keluar ke masjid dengan niat untuk menunaikan sembahyang Jumaat pada seawal waktunya secara berjalan kaki dengan penuh tenang dan sopan disamping membanyakkan membaca zikir, berselawat dan bertahmid kepada Allah.

  4. Sunat mengelokkan rupa parasnya dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar bersembahyang seperti memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu air-ari, menggosok gigi dan sebagainya.

  5. Sunat membanyakkan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat dan di waktu siangnya.

  6. Sunat memperbanyakkan membaca doa dan memohon keampunan dari Allah pada malam dan waktu siangnya.

  7. Memperbanyakkan membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. pada malam hari dan di waktu siangnya.

  8. Melakukan sembahyang sunat 4 rakaat sebelum Jumaat dan 4 lagi selepasnya.

  9. Sunat membaca surah al Fatihah, al Ikhlas, al Falaq dan an Nas setiap satunya sebanyak 7x selepas memberi salam sembahyang Jumaat.  Sabda Rasulullah s.a.w. "Sesiapa membaca surah Fatihah, al Ikhlas, al Falaq dan an Nas sebanyak 7 kali sebelum ia mengubah cara duduknya setelah imam selesai memberi salam pada hari Jumaat, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah dilakukan dan yang akan datang serta diberi ganjaran pahala sebanyak bilangan orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya."

  10. Disunatkan bagi orang yang mengantuk ketika mendengar khutbah pada hari Jumaat supaya berpindah tempat duduknya.  Berdasarkan riwayat dari Ibnu Umar katanya, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk pada hari Jumaat di dalam majlisnya maka hendaklah ia berpindah ke tempat duduk lain."


    Semoga memberi manfaat kepada kita :) 




Thursday, August 9, 2012

SETIAP PERKARA YANG TERJADI, BERSAMANYA ADA HIKMAH YANG TERSEMBUNYI.


Hukamak ada berkata,
semakin lambat seorang insan itu redha atas takdir yang terjadi, maka semakin lambatlah mata hati dapat menyingkap hikmah yang tersirat.


Ahli sufi ada berbicara,
semakin tinggi maqam (darjat) seseorang insan menurut Tuhannya, justeru semakin tinggilah dugaan hidup yang ditempuhnya.


Tatkala kita diuji dengan berbagai-bagai onak cabaran yang memeritkan,
ingatlah bahawa Allah itu ada.


Dia menguji kita supaya dapat memastikan adakah kita seorang hamba yang penyabar serta redha, atau sebaliknya.


" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat.
[Surah Al-Baqarah, 2:186]


" Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
[Surah Al-Mulk 67:2]


Kadangkala rencah musibah yang menggoncangkan jiwa bagai dirasa sekadar sia-sia.
Namun begitu, 
ingatlah teman bahawa seorang Muslim tidak akan merasa rugi atas lantaran janji-janji yang telah terpateri.


" Dari Abu Said Al-Khudri ra dan Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda: Tiada seorang Muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekalipun melainkan diampuni akan dosa-dosanya."
[Hadis Riwayat Bukhari]



Persis seorang pelajar cemerlang
yang gigih menahan segala dugaan demi manggapai segulung kejayaan,
begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan Iman.
Kesukaran yang melanda memerlukan dominasi Iman yang optimum lantas ligat merencana formasi kesabaran demi manggapai kemuliaan khalifah di muka bumi Allah.


Allah yang Maha Bijaksana
sengaja menyembunyikan khazanah kemuliaan amalan Iman dari mata kasar insan agar hanya barisan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji bagi melayakkan pengurniaan darjat yang lebih tinggi diberi.


Solusi kerungsingan yang dirasai sebenarnya bermula dari dalam diri.
Ibarat dalam huru-hara kancah peperangan,
laskar yang tidak berfikiran tenang akan sukar merangka strategi serangan balas malah tindak-tanduknya akan terburu-buru lalu kemungkinan maut baginya adalah hampir.
Redha dan sabar merupakan aset seorang Muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi.


"Dari Anas ra meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya."
[Hadis Riwayat Tarmizi]


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."
[Surah Al-Imran :139]


"Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."
[Surah Al-Baqarah :152-153]


"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan..." 

[Surah al-Naml :62]


"(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. 
[Surah al-Baqarah: 156-157]




Dugaan adalah peringatan. 
Saat mentaliti leka dek hempasan halusinasi duniawi,
dugaan adalah ayat-ayat Tuhan
yang mengingatkan hakikat kehidupan duniawi adalah demi ukhrawi.
Musibah selaku pengikis dosa menyucikan insan daripada khilaf agar ia termaaf.
Usah risau andai tandusnya nikmat,
tetapi risaulah jika hidup seakan-akan istidraj.
Semoga perkongsian yang sedikit ini adalah saham Akhiratku yang kekal.



Tuesday, July 31, 2012

PUASA TAPI TAK SOLAT



Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).




Hukum Meninggalkan Solat[1]

Para ulama’ bersepakat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan mengingkari kewajipannya, dia telah murtad dan kafir. Akan tetapi mereka berselisih pendapat sama ada orang yang meninggalkan solat kerana malas telah terkeluar daripada Islam atau masih Islam. Akan tetapi para ulama’ tetap bersepakat meninggalkan solat adalah dosa yang besar.
Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata bahawa tiada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam terhadap yang meninggalkan kerana mengingkari kewajipannya. Akan tetapi apabilka meninggalkan solat kerana malas, dan masih meyakini solat lima waktu wajib, maka di dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat.[2]

Terdapat tiga pendapat ulama ke atas orang yang meninggalkan solat kerana malas.[3]

Pendapat pertama:
 Orang yang meninggalkan solat wajib dibunuh kerana telah murtad. Ini merupakan pendapat Imam Ahmad, Sa’id bin Jubair, ‘Amir asy-Sya’bi, Ibrahim an-Nakhai, Abu ‘Amr, al-Auzai’e, Ayyub al-Sakhtiyani, Abdullah Ibn al-Mubarak, Ishak bin Rahawiah, Abdul Malik Bin Habib (ulama’ mazhab Malik), sebahagian pendapat ulama’ mazhab Syafie. Di kalangan sahabat pula pendapat ini dipegang oleh Umar al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Abdurrahman Bin Auf dan lain-lain.

Pendapat kedua
 : Orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman had, akan tetapi tidak dihukum sebagai kafir. Ini merupakan pendapat Imam Malik, Imam asy-Syafie, dan salah satu pendapat Imam Ahmad.

Pendapat ketiga
: Orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasiq (pelaku dosa besar) dan dia wajib dipenjara sehingga dia mahu menunaikan solat. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi.

Dalil-dalil Al-Quran tentang orang yang meninggalkan solat

1) Allah Ta’ala berfirman:
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا
Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mensia-siakan solat dan mengiut hawa nafsu. Mereka akan menemui al-ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Maryam : 59-60)
Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di neraka Jahanam yang makanannya sangat menjijikkan dan tempatnya sangat dalam. [4]

Di dalam ayat ini, Allah menjadikan tempat ini –iaitu sungai di Jahannam- sebagai tempat bagi orang yang meninggalkan solat dan mengikut hawa nafsu. Seandainya orang yang meninggalkan solat adalah orang yang hanya melakukan maksiat biasa, tentu dia akan berada di neraka paling atas, sebagaimana tempat orang muslim yang berdosa. Tempat ini (ghoyya) merupakan bahagian neraka yang paling bawah. Ia bukanlah tempat orang mukmin, sebaliknya tempat bagi orang kafir.

2) Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ
Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka) adalah saudara-saudaramu seagama.” (At Taubah: 11). Di dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengaitkan persaudaraan Islam dengan mengerjakan solat. Ini bermaksud jika solat tidak dikerjakan, bukanlah saudara seiman. Ia menunjukkan orang yang meninggalkan solat bukanlah mukmin kerana orang mukmin itu bersaudara sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” (Al Hujurat : 10)

Dalil Tentang Orang Yang Meninggalkan Solat Di Dalam Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam

1) Daripada Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.”[5]

2) Daripada Tsauban radiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
بَيْنَ العَبْدِ وَبَيْنَ الكُفْرِ وَالإِيْمَانِ الصَّلَاةُ فَإِذَا تَرَكَهَا فَقَدْ أَشْرَكَ

“Pemisah di antara seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia telah syirik.”.[6]

3) Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal , Nabi sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ
Kepala segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat.”.[7]
Di dalam hadis ini, dikatakan bahawa solat adalah tiang yang menegakkan Islam. Jadi jika roboh tiang tersebut, maka robohlah Islam.
Para Sahabat Berijma’ (Bersepakat), Meninggalkan Solat adalah Kafir

Umar radiallahu ‘anhu menyatakan:

لاَ إِسْلاَمَ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

”Tidak ada Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”

Daripada jalan yang lain, beliau berkata:

ولاَحَظَّ فِي الاِسْلاَمِ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”[8]

Ketika Umar menyebutkan perkataan di atas,beliau sedang menghadapi sakaratul maut, tiada seorang sahabat pun yang mengingkarinya. Oleh kerana itu, hukum bahawa meninggalkan solat adalah kafir termasuk ijma’ (kesepakatan) sahabat sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab As-Solah.
Kebanyakan sahabat Nabi menganggap bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah kafir sebagaimana dikatakan oleh seorang tabi’in, Abdullah bin Syaqiq. Beliau menyatakan:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ
Dahulu para sahabat Muhammad sollallahu ‘alaihi wassalam tidak pernah melihat suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat.”[9]
Al-Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, ”Tidakkah seseorang itu malu dengan mengingkari pendapat bahawa orang yang meninggalkan solat adalah kafir, padahal hal ini telah disaksikan oleh Al Kitab (Al Qur’an), As Sunnah dan kesepakatan sahabat. Wallahul Muwaffiq (Hanya Allah-lah yang dapat memberi taufik).”[10]




PERINGATAN
Bukanlah tujuan tulisan ini untuk menghukum orang lain kafir, atau puasa orang lain tidak sah. Sebaliknya ia satu muhasabah kepada diri kita. Ulama hanya khilaf kafir atau tidak, tetapi mereka tidak khilaf ia satu dosa yang SANGAT besar.
Ambillah pengajaran daripada artikel ini untuk kebaikan kita semua.